Setahun berlalu dan Tag

~salam~

Rasanya baru semalam saya mula berblog dan hari ini 9 May 2008 sudah setahun rupanya. Keinginan mempunyai blog ini bermula atas dorongan seorang rakan yang saya kenali di YM KL3. Pada mulanya saya kurang yakin dengan kebolehan sendiri untuk punya blog lantaran saya ni bukanlah seorang yang suka menulis.

Lama-kelamaan setelah menjelajah dari blog ke blog, terdetik di hati apa salahnya saya mencuba. Maka tarikh 9 May 2007 di pilih sebagai salam perkenalan saya seorang blogger. Walaupun blog ini tak se gah blog-blog lain di pasaran tetapi saya berbangga kerana lebih dulu menjadi blogger dari Khir Toyo, Ali Rustam dan juga Tun M.

Sepanjang setahun lalu entri blog ini terdiri dari pelbagai cerita tentang diri sendiri hinggalah ke bab politik. Saya tulis ikut apa saya suka dan ingin tulis. Tak pastilah samada entri-entri di blog ini memberi manfaat atau tidak. Kalau ada baguslah. Insya’ALLAH, pada masa mendatang saya akan cuba perbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada untuk sekurang-kurangnya menjadikan blog ini lebih bermakna.

Oh ya. Sempena edisi setahun berlalu ini saya mengambil kesempatan untuk menjawab tag dari dikmal dan nadlique yang telah mengetag saya lebih sebulan lalu. Tag ini berkenaan 8 perkara menarik dan fakta tentang saya. Sengaja saya simpan agar dapat di jawab pada hari ini.

Oklah ini dia…

  • Pertama. Ini pengakuan ekslusif. Untuk pengetahuan kawan-kawan, status saya bukanlah seperti yang disangka oleh teman-teman blogger sebelum ini. Saya sebenarnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 4 tahun 9 bulan. Nama isteri saya Maslina dan anak saya Nurhanisah Insyirah. Kepada yang ingin merasa nasi minyak saya, saya memohon berbanyak maaf melainkan kalau…hoho..cukuplah yang satu ini :D . Lagipun masa majlis perkahwinan saya dulu hidangannya bukan nasi minyak tetapi nasi beriani :D . Seperkara lagi, kenapa saya tidak bagi tahu awal-awal dulu kerana saya segan merasakan belum masanya untuk mengistiharkan status saya tetapi saya mengaku saya sudah berpunya. Tak caya tanya orang tu :D .
  • Kedua. Hari ini 9 May merupakan Hari Lahir saya, Hari Lahir isteri saya dan juga Hari Ulang tahun perkahwinan saya. So, pada hari ini saya akan sambut 3 dalam 1. Sambutannya sederhana saja sekadar kek dan bunga dari saya kepada isteri. Dan, hadiah isteri kepada saya ialah sebuah kereta kontrol..hehe..takdelah.. :D
  • Ketiga. Saya dan Isteri bekerja di syarikat dan pejabat yang sama. Bezanya saya di bahagian Rangkaian sementara Isteri di bahagian Pemasaran. Seperti tahun-tahun sebelumnya di pejabat hari ini pasti meriah dengan ucap selamat untuk saya dan isteri. :)
  • Keempat. Secara fizikal saya kelihatan muda dari usia. Pernah orang berjumpa saya dan bertanya “hari ni tak pegi sekolah ke?” :D Saya jawab, “Hari Sabtu sekolah ke?” ;)
  • Kelima. Saya seorang yang aktif bersukan. Hari-hari lepas office hour saya bermain ping-pong sementara futsal seminggu sekali. Walau aktif bersukan berat badan saya tetap maintain. Lepas kahwin ni badan agak berisi. Plan nak turunkan 5-10 kilo. Cuma berjaya 1-2 kilo saja. Itupun pada bulan puasa. :D Isteri saya juga aktif bersukan dengan bermain badminton dan sekali-sekala bermain netball. Inilah contoh pasangan sehati sejiwa… :)
  • Keenam. Saya adalah peminat fanatik pasukan Liverpool. Saya tidak pernah ketinggalan menonton perlawanan Liverpool walau satu game (melainkan tiada Live). Kalau match tu awal pagi dan esoknya hari bekerja, saya akan ambil time off atau cuti. Harap-harap satu hari nanti berjaya jejakkan kaki di Anfield.
  • Ketujuh. Kawan-kawan kata saya seorang yang tahu apa saja bidang sebab saya boleh layan borak dalam apa-apa tajuk seperti dunia sukan, muzik, kisah artis, politik pejabat, politik semasa, kereta, komputer, teknologi seperti gadjet dan teknologi terkini seperti 3G, WiMax dll. Terbaru, hasil rajin menjelajah blog ke blog saya dapat berkongsi pengetahuan tentang pengurusan kewangan, saham dan juga tip-tip motivasi dengan kawan-kawan. Kawan-kawan sebenarnya pelik kerana saya ada blog. Saya pula pelik apasal dorang taknak berblog… :D
  • Kelapan. Saya suka apa-apa tentang kapal terbang seperti tengok filem pasal kapal terbang, dokumentari kapal terbang dan main game kapal terbang. Cita-cita dulu memang nak jadi pilot tapi tak kesampaian. Bagus juga tak kesampaian sebab saya ni takut naik kapal terbang.

Begitulah serba sedikit perkara menarik dan fakta tentang saya. Kenapa lapan(8)?. Kerana 8 aja yang diminta. So, 8 je lah saya senaraikan :D . Ada banyak lagi tapi cukuplah 8 tu. Kalau lebih 8 nanti takut orang tak larat baca pulak. Ni yang 8 ni pun tak tahu ada orang sudi baca atau tak.

Saya tengah fikir ni samada nak panjangkan tag-mengetag ni. Kalau ya, sape ek saya nak pilih? Kalau saya pilih orang itu nak ke dia jawab tag ni? Hmmm…Tengah fikir lagi ni… :D

Sekian.

Comments (4)

Menara Telekomunikasi penyebab Kanser?

~salam~

Saya pernah menulis tentang ini dulu. Kalau rajin bacalah.

Pada pendapat saya Doktor yang membawa isu ini ke media melakukan kajian secara rambang tanpa fakta dan bukti saintifik yang kukuh. Selain kesan radiasi dari menara telekomunikasi orang ramai juga sentiasa terdedah dengan radiasi dari pancaran matahari, gelombang elektrik, monitor crt komputer/TV, gelombang elektromagnetik telefon bimbit, radio komersial, TV, Satelit, WiFi dan Wireless Router yang di pasang dirumah. Banyak kan.

Penyebab kanser pula tidak semestinya dari kesan radiasi tetapi dari pelbagai sumber contohnya air yang tidak bersih, makanan, bekas makanan, asap kenderaan, asap kilang, asap rokok dan macam-macam lagi termasuk bahan pencuci seperti pencuci muka, pencuci lantai, syampu, ubat gigi yang menggunakan bahan asid terlarang. Banyak juga kan.

Sebagai penyedia perkhidmatan telefon mudah alih menempatkan menara telekomunikasi di lokasi yang sesuai adalah penting. Penting kerana memenuhi keperluan pelanggan yang inginkan liputan yang terbaik. Sudah semestinya pemasangan menara di lokasi yang terpilih adalah mengikut garis panduan dan kebenaran oleh pihak berkuasa.

Meminta atau memohon mengalihkan menara merupakan hak penduduk tetapi janganlah pula membebel selepas ini isyarat telefon lemah hingga sukar berkomunikasi. Pengguna yang memilih, pengguna jugalah yang harus terima akibatnya.

Saya tidak menafikan hak awam untuk berasa bimbang terhadap sesuatu risiko bila mana masalah kanser ini telah terjadi dalam keluarga sendiri. Lebih banyak publisiti tentang isu ini akan mewujudkan lebih kekeliruan dan kerisauan kepada pihak lain.

Pilihannya sekarang hendak atau tidak kemudahan ini diteruskan? Jika tidak robohkan saja dan bina jauh dari penempatan manusia. Habis cerita. Lepas tu jangan komplen ya. ;)

Sekian.

Comments (3)

Mufti Perlis larang Faizal Tahir

Beberapa hari lalu Mufti Perlis telah melarang Faizal Tahir dari membuat persembahan di Perlis.

Sebelum larangan itu Faizal Tahir telah memenangi 3 anugerah di APM.

Beberapa hari sebelum menang anugerah di APM, Faizal Tahir baru dibebaskan kerana digantung 3 bulan akibat insiden buka baju.

Dan di AIM semalam, Faizal Tahir menang besar dengan 4 anugerah. Nampaknya dunia hiburan tempatan mengiktiraf bakat bekas artis nasyid kumpulan MIRWANA walaupun pernah terbabit dengan kelakuan mencemar tatasusila budaya melayu.

Namun, di AIM semalam kedua-dua pengacara Adibah Noor dan Aflin Shauki dalam nada lawak telah mempersenda dan menyindir Mufti dan Menteri Besar Perlis atas larangan tersebut.

Korang rasa patutkah dorang buat macam tu? ;)

Comments (8)

Liverpool 2 Chelsea 3 : Kalah tapi menang di hati

~salam~

Awal pagi semalam berlangsungnya perlawanan separuh akhir Piala Liga Juara-Juara Eropah yang berkesudahan Liverpool tewas kepada Chelsea. Dalam masa 4 tahun ini merupakan pertembungan ke-3 separuh akhir UCL antara Liverpool dan Chelsea. Dua game dahulu Liverpool menang dan kali ini terpaksa mengalah untuk memberi laluan kepada Chelsea agar tak kempunan ke Final UCL di Moscow buat kali pertama.

Yang menarik tentang perlawanan Liverpool dan Chelsea masing-masing ada rekod yang hendak dipecahkan. Sejak Rafa Benitez melatih Liverpool 4 tahun lalu, ini merupakan pertembungan yang ke-20 dalam berbagai kejohanan. Perlawanan tersebut ialah 8-EPL, 8-UCL, 1-FA cup, 2-League Cup dan 1- Piala Sumbansih. Antara Rafa dan Jose berlangung 15 game dengan Liverpool menang-4, seri-7, kalah-4. Sementara dengan Avant, menang-0, seri-3, kalah-2(termasuk pagi tadi).

Antara rekod-rekod pula ialah.

  1. Sejak Rafa melatih Liverpool belum berjaya jaringkan gol di Stamford Bridge sehingga akhirnya pagi tadi berjaya jaringkan 2 gol melalui Torres dan Babel.
  2. Dalam 3 perlawanan separuh akhir sebelum ini(2-UCL,1-FA Cup), semua game Liverpool menang kecuali game pagi tadi. 3 game semi sebelum ini Chelsea di latih oleh Jose Mourinho. Nampaknya Avant Gram berjaya kali ini.
  3. Chelsea tidak pernah berjaya layak ke Final UCL dan sudah tentu tidak pernah menjuarai UCL.
  4. Liverpool tidak pernah tewas dengan aggregat di semi UCL.

Berdasarkan rekod-rekod yang hendak dipertahankan atau dipecahkan maka telah menjadikan perlawanan semalam menarik kerana samada Liverpool ataupun Chelsea akan berusaha mencapai matlamat tersebut. Akhirnya , Liverpool berjaya juga jaringkan gol di Stamford Bridge dan begitu juga Chelsea berjaya ke Final.

Secara keseluruhannya prestasi Liverpool pada tahun ini tidaklah begitu mengecewakan. Walau masih gagal merampas gelaran juara liga EPL tetapi diperingkat Eropah Liverpool begitu digeruni oleh pasukan-pasukan besar seperti AC Milan, Inter Milan, Juventus, Bacerlona dan lain-lain kerana pasukan tersebut pernah dikalahkan oleh Liverpool sejak 4 tahun lepas.

Dibandingkan dengan pasukan EPL lain seperti MU, Arsenal dan Chelsea, Liverpool merupakan pasukan English paling berjaya di Eropah dengan 5 kejuaraan UCL. Ditambah dengan kehadiran pemain baru lagi muda seperti Ryan Babel, Fernando Torres dan Lucas Leiva sudah pasti bakal menggegarkan kejuaraan tempatan dan juga Eropah.

//Aku, sebagai peminat setia tetap akan menyokong Liverpool dulu, kini dan selamanya….walau kalah…sokong tetap sokong…. For Chelsea…Good Luck, harap-harap dapat kalahkan MU sebab aku memang tak suka MU..hehe.. Lagipun Final match kat Moscow, negara tempat lahir owner Chelsea, Abramovich. Mesti dapat sokongan padu dari penyokong tempatan. Drogba…kalau dah score tu jangan berlagak sangat. Rafa tu saje je kritik ko untuk saikologi. Apa-apa pun semalam, Liverpool lebih kontrol game, cuma nasib tak menyebelahi. Kalau tak kerana 1st game hari tu Risse score sendiri pada minit 90+4 min 10 saat (dah lebih 10 saat tu) belum tentu Chelsea dapat pegi final. Walau apa pun aku terima kerana ini dah tersurat. Kita jumpa lagi selepas ini…. :D 

Sekian.

Comments (4)

Bandung ~ 1

~Salam~

Bandung…3-8 April lalu. Kali ke-2 aku ke sana dalam masa 2 tahun. Saja jalan-jalan makan angin dengan kawan-kawan seofis. Pegi Bandung ni lebih kurang macam pegi Sabah dan Sarawak je. Cuma yang beza cuaca kat Bandung ni nyaman sebab kedudukannya di tanah tinggi. Suhu siang around 22-26 C dan malam 16-20 C. Bestkan macam dok dalam aircon. Mana tak, jalan-jalan tengahari buta kat tengah bandar pun terasa tak berpeluh. Cuba kat KL atau JB, mau sekejap je dah berjurai-jurai air keluar dari badan.

Aku ke sana naik Air Asia. Book bulan Januari. Dekat 3 bulan seh tunggu sebab nak harga murah. Nasib la kalau ada clash sedara-mara buat keje kahwin atau kawan kawen. Hai-hai..bye-bye la. Dan dengan sebab itu lah tarikh yang dipilih diluar masa peak dan bukan cuti sekolah. Tujuannya, supaya tak bertembung dengan acara sebegini.

Masa aku book tu harga promosi RM186. Dulu 1st time pegi hage RM146. 2 tahun lagi tak tau lah berapa. Perjalanan KL-Bandung 2 jam je. Aku kalau boleh nak naik dari JB tapi cuma ada flight ke Jakarta je dan tambang pulak lagi mahal dari KL-Bandung. Padahal kalau ikut jarak JB-Jakarta lagi dekat cuma sejam perjalanan. Aku rasa itu Air Asia punya strategi daaa…atau orang Johor kurang pegi Bandung atau mungkin juga orang Bandung suka pegi KL dari JB..hmmm..mungkin la..

So, selain cuaca apa yang best kat sana? Menurut kata kawan aku Amir, Bandung terkenal dengan 4 F…iaitu Food(macam-macam makanan adaa..), Fashion(Branded dan murah), Female(cute and good lookin-tengok je) dan Fame Station(Hang out place). Begitulah kata Amir. Sekali pegi Bandung mesti nak pegi lagi. Untuk realese tension dan cari ketenangan Bandung lah tempat yang sesuai lagi murah. Kalau nak pegi Perth tak mampu la pulak. Gold Cost lagi la..

Selain 4F tu, Bandung juga terkenal dengan syurga beli-belah. Sebab itu kalau jalan-jalan kat bandar Bandung bersepah sana-sini Factory Outlet(FO). FO ni lah jual barang-barang branded seperti pakaian pada harga jauh lebih murah dari yang sewaktu dengannya. Bayangkan T-Shirt Nike kat Al-Ikhsan hage dalam RM100 keatas, kat Bandung kita boleh dapat hage bawah RM30. Bukanlah nak bangga dengan T-Shirt Nike tu, cuma bagi contoh je. Sambil makan angin sambil beli-belah, ya tak. Tu belum cete pegi Pasar Baru yang ala Pasar Payang kat Kuala Terengganu dan Bazar kat Kota Bahru. Kat situ kalau bawak emak, ayah, isteri, mau penuh bonet teksi…perghhh..murah gilerrr..

Oklah dah kol 2.32 pagi…nanti sambung…nak layan match UCL Liverpool lawan Chelsea….harap-harap menang..Final jumpa MU… :D

Comments (1)

Ba Alif Ba Ya

~salam~

Mungkin isu ini agak lapuk tetapi saya terpanggil untuk menulisnya sebagai pendapat peribadi…

Sejak beberapa hari lalu saya tiada di ’sini’ kerana berada di ’sana’, pulang saja disajikan dengan kisah hangat pasal ba alif ba ya(sebut…Ba Bi) di Selangor. Semua maklum Selangor sekarang ni kerajaannya bukan ba ya alif ya nun (sebut…Bi iN), maka macam-macam cara orang-orang yang tak puas hati akan lakukan untuk burukkan kerajaan yang baru memerintah sebulan lebih ni.

Isunya bukan besar sangat iaitu pasal nak modenkan penternakan ba alif ba ya. Bukan kah bagus, tutup banyak kandang kemudian bina hanya satu(1) kandang saja. Taklah mengusutkan penguatkuasa nak memantau kandang-kandang yang bersepah sana-sini. Sudahlah bersepah, mencemar alam pula. Bukan saja di Selangor, di Melaka, di Negeri Sembilan juga terdapat kandang-kandang bersepah yang mencemar alam sekitar.

Pada saya sepatutnya peluang harus diberikan kepada kerajaan Selangor membuktikan apa yang dirancang ini untuk keselesaan rakyat pada masa hadapan. Kisah ba alif ba ya dan pencemaran memang sensitif terutama pada orang Melayu dan Islam tetapi demi menghormati kaum yang menjadikannya sebagai makanan maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri memenuhi permintaan ini dengan melaksanakan secara sistematik demi mengelak pencemaran.

Realistiknya apa yang kerajaan Selangor lakukan, bukan semata ingin mengambil hati tetapi lebih kepada tuntutan sosial dan keadilan sebagai pemerintah kepada orang bukan Islam dan juga orang Islam.

Sekian.

Comments (8)

Ketuanan Melayu vs Islam

By kumb@ng on Mar 23, 2008 | Reply

By amieiezam on Mar 21, 2008 | Reply

kumbang….untuk gadaikan kepentingan anak bangsa…cucu.. cicit aku pasti bukan itu yang kita hendak. Mungkin saudara sudah berjaya tapi ramai lagi masih baru bertatih!!! Yang dituntut ialah hak sebagai peribumi… tanah ini hak kita…kita kongsikan bersama, atas dasar semangat setiakawan…ini saudara mesti ingat..
dimana-manapun didunia konsep kepentingan kelompok terbesar masih menjadi amalan..tak perlu jauh, rujuk lah di negara jiran kita Singapura mahupun Indonesia.

bawa2 lah berfikir dan lihatlah sejenak statistik jabatan pendaftaran negara… “mereka” tidak punya masalah menukarkan kerakyatan mereka kerana “mereka” sendiri tau ini bukan tanah tumpah darah bangsa mereka… tapi ini tanah kita…tanah yang diwariskan kepada kita oleh pejuang2 kita yang mendahului kita.

nampaknya kumbang lebih jahil tentang DEB…takkan lah dengan adanya DEB hanya melayu yang akan kehadapan.. apakah persamaan ini boleh dikaitkan dengan Nicol Ann David? kemeruduman pasukan “harimauuuuwww” malaya? DEB ialah mekanisma yang diguna pakai kerajaan perikatan bagi menyusun kembali komposisi rakyat tanah melayu supaya kesaksamaan dalam perkongsian kekayaan..saya yakin saudara takkan mampu membayar ribuan RM untuk bayaran TAX tanpa adanya DEB.

Lebih tidak adil apabila saudara menjulang guan eng sebagai wira apabila masih mengungkit apa yang berlaku dulu. Andaikata orang yang merogol itu tiada kena mengena dengan pimpinan UMNO saya yakin tiada usaha yang beliau lakukan, dalilnya…kenapa hanya itu dan hanya itulah kes yang dibawa oleh insan yang saudara gelar “pejuang”…

kuasa kini hanya tinggal k.u.a.s.a
—————————————————
Oleh kerana saudara block ruang komen untuk entry ni,izinkan saya menjawab disini.

amieiezam..adakah kerana saya mengkritik perjuangan KETUANAN MELAYU, maka saya dicop ingin menggadai kepentingan bangsa. Berkali-kali sudah saya katakan agenda ketuanan melayu tidak akan membawa melayu kemana-mana. Melainkan menjurangkan antara yang kaya dengan miskin. Lagipun agenda KETUANAN MELAYU ini lebih bersifat perkauman.UMNO,MCA dan MIC ada agenda untuk kaum masing-masing. UMNO dengan melayunya,MCA dengan cina dan MIC dengan india. Atas semangat SETIAKAWAN sejak merdeka maka negara ini dibina sehingga hasilnya boleh dilihat hari ini. Setiap kaum ada peranan masing-masing dan punya hak di tanah ini. Walaubagaimanapun, tidak semestinya apa yang dihasilkan hari ini adalah yang terbaik. Kelebihan dan kekurangan tetap ada. Cuma yang tak baiknya rasa curiga antara kaum masih wujud sedangkan perasaan ini sepatutnya sudah diNYAH dalam diri masing-masing atas semangat PERPADUAN dan SETIAKAWAN.

Sebagai contoh, di singapura,PAP tidak pernah perjuang ketuanan cina melainkan menggalakkan semua kaum bersaing.Nah!hasilnya singapura muncul negara kelas ke-2 didunia,sementara malaysia masih dikelas ke-3.Itu hakikat, singapura dulu sebahagian dari tanah melayu dan sekarang sudah maju kehadapan. Disana, orang melayu yang dikata ditindas,golongan minoriti,masih mampu beli tanah di Johor,beli rumah harga teres rm200-300k,beli rumah banglo 1 juta.INI CONTOH! Diulangi sekali lagi, INI CONTOH! Jangan pula saudara tuduh saya cuba belot dan memuja pemimpin mereka.Pada saya yang baik jadikan TAULADAN,yang tidak baik jadikan SEMPADAN. Lagi satu, saudara mungkin lupa,tak ingat atau tak tahu di Johor lama dah tanah milik melayu digadaikan kepada singapura.Siapa yang gadai?

Saudara amieiezam..saya sebenarnya KASIHAN,
Kerana terlalu asyik dengan agenda KETUANAN MELAYU,hingga lupa MELAYU paling ramai penghuni PENJARA.
Kerana terlalu asyik dengan agenda KETUANAN MELAYU,hingga lupa MELAYU paling ramai penghuni PUSAT SERENTI.
Kerana terlalu asyik dengan agenda KETUANAN MELAYU,hingga lupa MELAYU paling ramai jadi MAT REMPIT.
Kerana terlalu asyik dengan agenda KETUANAN MELAYU,hingga lupa MELAYU paling ramai jadi BOHSIA,BOHJAN.
Kerana terlalu asyik dengan agenda KETUANAN MELAYU,hingga lupa MELAYU paling ramai jadi ITU,jadi INI yang ada kaitan dengan gejala NEGATIF.

Boleh, bukan tak boleh asyik dengan KETUANAN MELAYU,mestilah seimbang dengan tuntutan AKHIRAT. Pada saya perjuangan kaum hanya terhad pada kaum sahaja.Mustahil agenda perjuangan kaum masing-masing boleh menyatupadukan kaum di tanah ini. Bagi saya, hanya SATU wadah sahaja yang boleh menyatukan kaum dibumi ini iaitu ISLAM. Sebab itu saya meletakkan perjuangan ISLAM no.1 dan BANGSA no.2. Saya tidak rasa pimpinan sekarang perjuangkan AGAMA ISLAM seiring dengan BANGSA.

Saudara amiezam..saudara anggap saya sudah berjaya tetapi masih JAHIL DEB.Oh! saya terlupa rupanya ramai masih bertatih. Ramai ke? Bukankah DEB sudah ada sejak 1969 atas sebab menaik taraf kaum MELAYU seiring dengan kaum lain. DEB telah sebabkan ramai masih bertatih atau pimpinan sekarang terlalu asyik dengan KETUANAN MELAYU hingga lupa ramai rakyat yang masih bertatih! Hakikat yang terserlah sekarang ketidakeimbangan DEB menyebabkan ramai rakyat terutama melayu MEREMPAT di negara sendiri. Masih ramai yang tinggal di setinggan,rumah murah dan umno gunakan golongan ini untuk meraih sokongan dengan menabur janji palsu. Janji yang tinggal janji dan akhirnya rumah mereka diroboh tanpa belas kasihan.

Saya rasa,daripada melalak sana-sini perjuang KETUANAN MELAYU lebih baik sampaikan kebaikan ISLAM tentang keadilan SYARIAT ISLAM kepada kaum BUKAN ISLAM. Bukan memaksa mereka memeluk ISLAM cuma nak bagi tahu ISLAM sebenarnya menjaga keamanan,adil dan menjaga harta benda tidak kira mereka orang ISLAM atau bukan. MUNGKIN, siapa tahu dengan izin ALLAH melalui program pemahaman ISLAM kepada BUKAN ISLAM boleh meramaikan UMAT ISLAM di tanah ini. Saya redha mempunyai pemimpin seorang CINA atau INDIA dengan syarat dia seorang ISLAM.

Saudara amieiezam..SUKAN dan DEB memang tak boleh disamakan tetapi boleh diambil contoh atas semangat PERPADUAN.Tokoh sukan hari ini kebanyakan lahir secara individu bukannya berkumpulan. Sebab itu saya ambil contoh sukan BOLASEPAK.Sukan ini menuntut PERPADUAN disamping PERSEFAHAMAN untuk mencapai matlamat iaitu menjaringkan GOL. Tanpa jaringan GOL yang kerap maka jadilah PASUKAN HARIMAU MALAYA merudum dan merudum. Tidak dinafikan, ada atlit negara ini yang berjaya tetapi secara INDIVIDU bukan BERPASUKAN.

Tentang GUAN ENG pula, salah juga ke saya beritahu kebaikan dia? menceritakan kebaikan orang kan lebih baik dari memburukkan. Atau saudara suruh saya berhasad dengki macam apa yang terjadi di Terengganu sekarang, orang melayu menderhaka pada SULTAN? Bagaimana pula dengan SOI LEK? Rasanya tak sopan nak cerita apa yang dia telah buat sampai terpaksa undur diri dari politik. Ingin digelar pejuang tak perlu tengok pada warna kulit. Saya ambil contoh GUAN ENG kerana masakini dia antara tokoh paling popular dan kisah masa lampaunya ada kaitan dengan tanggungjawab sosial sebagai rakyat Malaysia.

Saudara amieiezam…sayang sekali saudara sungguh petah berkata-kata tetapi tidak punya blog untuk luahkan bicara..

Comments (6)

Islam untuk semua

~salam~

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab ini (Al-Quran) kepadamu dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukumi manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu” (Surah An-Nisa’)

Ayat tersebut adalah umum untuk seluruh manusia. Maksudnya Syariat Islam bukan hanya wajib dilaksanakan untuk penganutnya tetapi untuk semua umat manusia di seluruh dunia tidak kira mereka penganut Islam atau pun tidak. Dengan itu anggapan perlaksanaan syariat Islam hanya untuk orang Islam adalah tidak tepat sama-sekali.

Di Negara ini, pemerintah tidak mahu melaksanakan syariat Islam sepenuhnya dengan alasan masyarakat di negara ini terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Walhal dalam Islam, warga bukan Islam bebas memilih agama yang diingini dan mengamalkan kepercayaan masing-masing kerana Allah SWT tidak memaksa setiap orang memeluk Islam. Orang bukan Islam juga bebas mengamalkan kepercayaan tentang agama mereka seperti ibadah ritual, makanan, minuman, pakaian, perkahwinan dan lain-lain.

Cuma perkara tentang perundangan, muamalat, politik, ekonomi dan sosial orang bukan Islam harus tunduk kepada syariat Islam. Tujuannya supaya kebaikan syariat Islam akan dapat dirasakan oleh seluruh masyarakat dalam negara seperti Malaysia.

Persoalannya sekarang, bagaimana hendak memahamkan masyarakat tentang kebaikan syariat Islam? Islam sering dikaitkan dengan anggapan yang negatif seperti zalim, menindas kaum wanita, mundur, tidak menerima kemodenan dan juga keganasan.

Di negara ini orang bukan Islam tidak pernah dididik secara formal tentang kebaikan syariat Islam. Tiada kesungguhan dari pihak pemerintah ke arah memberi pendidikan kepada orang bukan Islam tentang kebaikan syariat Islam. Yang sering di momokkan ialah hukuman dalam perundangan Islam ialah zalim seperti memotong tangan dan sebagainya. Padahal tujuan hukuman ini adalah untuk menyedarkan orang lain supaya tidak melakukan perkara seperti mencuri dan sekaligus menjaga harta-benda anggota masyarakat tidak kira orang Islam atau bukan Islam.

Selain itu perlaksaan ekonomi Islam melalui larangan riba’ dan perjudian pastinya akan membuat ekonomi masyarakat tumbuh secara nyata, stabil, kuat dan tidak mudah rapuh akibat inflasi. Komoditi milik umum seperti minyak, hutan, gas dan sumber mineral lain seharusnya dikendalikan secara amanah oleh negara dan hasilnya diberikan kepada rakyat semula secara langsung atau tidak langsung dan akan membuat seluruh masyarakat mendapat manfaat dari kekayaan sumber alam yang dimiliki.

Pertumbuhan ekonomi secara nyata dan stabil juga akan menghasilkan rakyat hidup sejahtera dan mengurangkan jurang ketidakseimbangan sosial-ekonomi di dalam masyarakat bukan seperti yang terjadi dalam sistem kapitalis. Kebaikan dari sistem ekonomi Islam ini pastinya dapat dirasakan oleh semua anggota dalam masyarakat baik orang Islam dan juga bukan Islam.

Sekarang ini hanya orang Islam saja yang terdedah dengan pendidikan Islam di mana tanggungjawab itu diserahkan kepada para ustaz dan ustazah dari peringkat sekolah hinggalah ke universiti. Walaubagaimanapun, realitinya Islam yang diajarkan tidak sepenuhnya dilaksanakan di negara ini. Hanya terhad pada rukun Islam yang lima(5).

Manakala di kalangan rakyat yang bukan Islam tiada usaha untuk memberikan pendidikan tentang syariat Islam yang sebenar. Masyarakat bukan Islam di Malaysia selama ini hanya mengetahui Islam adalah agama untuk orang Melayu sedangkan Islam sebenarnya untuk semua kaum dan bersifat universal serta adil.

Sudah tiba masanya kebaikan syariat Islam ini didedahkan kepada setiap orang dalam masyarakat dalam negara ini.

Samada mereka boleh menerima atau tidak terpulang kepada mereka yang menentukan. Selagi tiada usaha ke arah memberi pendidikan Islam kepada rakyat di negara ini maka sampai bila-bila hasilnya tidak dapat di nilai samada berjaya atau tidak. Apa yang berlaku sekarang adalah hasil dari sistem yang diamalkan sejak 50 tahun dahulu. Perubahan mesti dilakukan demi kesejahteraan hidup di dunia ini dan hanya syariat Islam sahaja yang boleh menyelesaikan semua permasalahan hidup manusia.

Hakikat yang tidak diketahui ialah syariat Islam sebenarnya menjaga keamanan, ekonomi, sosial dan juga harta benda. Dengan itu pendidikan tentang Islam kepada semua adalah perlu kerana Islam sebenarnya adalah untuk semua.

Sekian.

———————————————————————————————————————————-

Blog ini sedang menyertai cabaran http://www.smlearning.net/ SM Learning, penganjur kelas-kelas, bengkel dan seminar yang boleh membantu kehidupan anda. Sila ke laman web SM Learning di http://www.smlearning.net untuk maklumat lanjut.

Comments (4)

« Previous entries