Dari puncak Gunung Ledang
Salam semua..
Hari ini saya kembali setelah beberapa hari sepi tanpa post. Sepi kerana bertugas di luar daerah. Walaupun kelihatan aktif di alam cyber hakikatnya saya bukan berada di rumah. Teknologi yang membolehkan saya berada di alam cyber dimana-mana sahaja. Kelebihan ini kerana saya bekerja di syarikat telekomunikasi yang juga salah satu tugas saya untuk memastikan tiada gangguan pada perkhidmatan ini.
Selasa lalu saya ‘mendaki’ Gunung Ledang dan hari berikutnya, semalam ‘mendaki’ Gunung Pulai. Lokasi Gunung Ledang ini berhampiran Tangkak sementara Gunung Pulai di antara jalan Kulai-Pontian.
Tujuan saya ’mendaki’ adalah salah satu tugas rutin membuat pemeriksaan peralatan telekomunikasi supaya berada pada tahap terbaik. Kerja-kerja ini dilakukan setiap 6 bulan. Kalau nak cerita lebih lanjut apa tugas saya mungkin ada yang tak paham kerana terlalu teknikal.
Selain perkhidmatan telefon mudah alih, perkhidmatan sewaan talian data dan penyiaran radio juga merupakan antara produk di bawah seliaan saya. Kerana sebab itulah kenapa peralatan ini di pasang di puncak Gunung.
Mungkin ada yang nak tahu dengan apa saya ‘mendaki’? Ya lah, beberapa hari lalu timbul spekulasi cepat benar saya ‘mendaki’ dan turun semula. Tak percaya ke?

Untuk pengetahuan semua, saya ‘mendaki’ menggunakan kenderaan pacuan 4 roda. Untuk ke puncak gunung ada laluan jalan tar yang di bina oleh Telekom Malaysia sedekad lalu. Laluan ini diantara jalan Tangkak ke Segamat. Dari Tangkak kira-kira 4 km.
Jarak dari kaki gunung ke puncak lebih kurang 9 km dan mengambil masa hampir sejam. Laluan berliku ini agak curam di sesetengah kawasan dan kelihatan kesan-kesan tanah runtuh. Walaupun berisiko, demi tugas ’pendakian’ ini harus diteruskan.

Sekiranya cuaca cerah, seseorang boleh melihat bandar Segamat, Tangkak dan Selat Melaka dengan jelas. Malangnya pada hari saya ‘mendaki’ cuaca agak berkabus ditutup awan. Penglihatan agak terhad dan seperti berada dalam suasana pagi padahal hari menunjukkan tengahari. Suhu di puncak lebih kurang 20 celcius memang menyamankan.

Walaubagaimanapun ‘mendaki’ Gunung Ledang ini ada pantang larangnya samada mendaki dengan kaki dan tangan atau dengan kenderaan. Banyak kisah pelik dah berlaku. Nak cerita ke? Adalah dengar tapi lain kali lah cerita.
Dulu di kawasan empangan ini yang letaknya pada ketinggian 500 meter merupakan tempat pertapaan bagi menamatkan ilmu perguruan persilatan. Sejak diwartakan sebagai Taman Negara 3 tahun lepas segala aktiviti seperti ini tidak lagi dibenarkan.

Ramai tahu kisah di sebalik Gunung Ledang. Kisah seorang puteri yang di pinang oleh Hang Tuah untuk Sultan Melaka yang akhirnya tidak menjadi kenyataan. Realitinya Gunung Ledang wujud dan kisah sang puteri ini hanyalah cerita rakyat turun menurun yang kesahihannya masih diragui.
Namun kisah Puteri, Hang Tuah dan Sultan Melaka yang menyebabkan Gunung Ledang terkenal dengan mitosnya. Beberapa tahun lalu kisah ini sekali lagi di filemkan dan memecahkan rekod sebagai filem paling mahal pernah dihasilkan di Malaysia.

p.s : penulis dan gunung-ganang
p.s.s : Tinggi Gunung Ledang - 1276 meter.
Sekian. Jumpa lagi.










