Archive for June, 2007

Aku dalam dilema

Salam semua..

Semalam rakan saya telefon. Terperanjat saya sebab lama dah dia tak telefon. Tiba-tiba telefon suruh datang rumah. Katanya ada barang nak jual.

Saya tanya barang apa? Dia kata “kau datang je rumah aku dulu…ini barang macam-macam color ada merah, kuning, hitam, silver pun ada..”

“Barang ni ko memang suka…dari dulu cita-cita ko nak barang ni..”

“Ini barang baik punya woo….import mali”

“Kalau kau lambat…orang lain sapu…”

“Berlambak ni kat depan rumah aku…”

“Tak sanggup aku nak simpan lama-lama…nanti jiran-jiran marah…” 

“Datang tau…jangan tak datang…aku tunggu” kata dia dengan panjang lebar. Tak sempat saya nak mencelah.

Saya bukannya taknak datang, takut terjebak. Faham-faham je lah hujung bulan ni. Saya ni jenis kesian kat kawan. Kalau datang mesti kena beli punya…

Kalau menurut ceritanya macam baik je barang tu. hmmm….barang apa ek? Arrghhh!! nak pegi ke tak ni? kusut-kusut. Tak pegi nanti tak tau pulak barang apa dia jual..

Oklah…saya  ambil keputusan pergi juga ke rumah rakan tu…perjalanan dari rumah saya ke rumah rakan tu ambil masa setengah jam kalau memandu dengan kelajuan 60km/j. Jalan bandar biasalah, tak boleh drive laju-laju..takut speed trap.  😀

.

.

.

.

.

Sampai di rumah rakan tu…ini yang saya lihat….wo!! memang baik punya barang lah!! 😀

Nak beli ke tak nak??hmm…dalam dilema ni… 😀

Sekian. Jumpa lagi.

Comments (10)

Mee

Salam semua…

Petang itu. Saya dan rakan ditugaskan membaiki peralatan telekomunikasi yang rosak akibat dipanah petir. Kerosakan yang menyebabkan kawasan Bandar Tenggara di daerah Kluang dan yang sewaktu dengannya tiada liputan telefon mudah alih. Lain-lain operator tu tak tau lah terlibat atau tidak.

Setelah berjam-jam baiki akhirnya kerosakan dapat dipulihkan sekitar jam 1 pagi. Maka gembiralah warga Bandar Tenggara dapat mengguna semula telefon. Ya lah. Mungkin ada yang nak telefon awek, tunang dll tak dapat-dapat sejak petang.

Bagi saya kerja hingga lewat malam ni dah biasa. Pernah juga lebih 24 jam tak tidur dan kadang-kadang tidur kat site atau dalam kenderaan. Semua ini dilakukan tujuannya supaya pelanggan mendapat perkhidmatan yang baik…macam YES jek.. 😀

Setelah memastikan semua peralatan dalam keadaan baik dan bekerja seperti sediakala, saya dan rakan bersiap sedia untuk pulang. Oleh kerana perut masing-masing dah mendayu-dayu bunyi lagu keroncong untuk Ana. Perkara pertama di fikiran ialah mencari tempat makan.

Faham-faham saja lah di kawasan pendalaman macam ni bukan senang nak cari tempat makan. Lewat malam pulak tu. Jarak Bandar Tenggara dengan JB lebih kurang 70km. Memandu lebih kurang sejam. Kalau jalan kaki tak pernah cuba lagi…hehe.. 😀

Dalam perjalanan pulang, lebih kurang 15 minit memandu saya terpandang dari jauh kelihatan seakan warung di Felda Sungai Sayong. Rakan saya pun nampak juga. Saya pun menghampiri warung yang dimaksudkan…sah! memang warung tapi warung burger! Saya pun ambil keputusan singgah sebab nampak ada kerusi dan meja. Mana tau ada makanan lain. Sambil tu boleh lepak-lepak melepaskan rasa penat dan ngantuk.

Selepas duduk, mamat kat warung burger tu datang “makan bang?” Rakan saya yang sejak tadi merungut perut lapar tanya kat Mamat tu “mee ada tak?” sambil tangan kanan menggosok-gosok mata dan tangan kiri memegang perut.

Tiba-tiba mamat yang ambil order tu belah macam tu je…saya dan rakan terpinga-pinga “kalau nak belah pun, abiskan lah order dulu..ish! mamat ni” kata saya.

Rakan saya mencelah “mamat tu kelam kabut pegi…sensitif ke aku tanya pasal mee tadi…entah-entah….”

“ha! ko apahal? jangan pikir macam-macam. ni tengah malam. ko tengok keliling tempat ni gelap semacam. kat sini cuma ada ko ngan aku je” kata saya dengan nada key E minor .

“aku nak cakap, entah-entah mamat tu nak check stok mee ada ke tak. takpun nak pinjam mee…hahaha…apela ko ni fikir bukan-bukan” kata rakan saya dengan slang jawanya sambil angkat tangan ala Karam Singh Walia..

“eh! lama pulak mamat ni…mana pulak dia nak cari mee tu? rakan saya mula risau sambil mata memandang ke arah tempat mamat tadi hilang dari pandangan.

“Zhar! ko nampak tak tu?”  “mana?” “tu hah kat belakang warung tu” kata rakan saya sambil muncungkan mulutnya..

“haah..nampak-nampak..” dalam sayup-sayup kegelapan malam, kelihatan 2 lembaga seakan manusia berjalan menuju kearah kami. Semakin lama, semakin hampir. Tiba-tiba bulu roma saya meremang. Berderau darah saya melihat situasi ini. Rakan saya hanya memandang nak pastikan lembaga apakah itu.

“laaa…mamat tadi lah…fuhh….legaa” disebelah mamat tu ada sorang lagi mamat. Dari mana pulak mamat yang sorang ni datang. Sape pulak panggil dia. Kelihatan macam baru bangun tidur. Agaknya inilah tukang goreng mee. Patutlah lama. Kejutkan mamat ni rupanya. Kalau goreng mee, mesti boleh goreng nasi…hehe.. Suasana kembali tenang.

Mamat yang baru kene kejut tadi berjalan ke arah kami sambil gosok-gosok mata. Entah dah gosok gigi ke belum.

Lalu mamat tu berkata “bang saya Mie…cari saya ke?”

Laaaaaa…saya dan rakan tepuk dahi dan kemudian gelak… 😀

Sekian. Jumpa lagi

p.s : moral cete ni? hmm…mee atau mie bunyi sama tapi maksud lain..hehe.. 😀 

Comments (20)

Makan bola,Tidur bola,Minum air kolah

Salam semua..

Hari ini di blog saya terima 2 komen dari seorang sahabat baru bernama Zool. Selepas mengunjungi blog beliau, saya rasa blog ini merupakan satu-satunya blog pernah saya jumpa bercerita pasal bola. Dengan bercerita hanya pasal bola, blog ini juga bakal menjadi blog saya suka baca.

Seperti saudara Zool, saya ni bukanlah hebat sangat bermain bola tetapi saya tersangat-sangatlah minat bola. Saya subscribe Astro semata-mata nak tengok game pasukan kesayangan saya Liverpool. Sekarang ni boringlah sikit sebab hujung minggu tak dak game.

Tak tau nak buat apa malam hujung minggu saya main PC game bola dan setiap kali main setiap kali itulah pasukan Liverpool pasti jadi juara. Cuma dalam game je tu. Realitinya Liverpool pun memang  selalu jadi juara..ehem..

Begitulah fanatiknya saya kalau cerita pasal bola dan Liverpool. Siapa ya pemain yang Liverpool bakal beli musim depan? Kalau dapat Carlos Teves atau Samuel Eto pun bagus gak. Tapi rumours mengatakan Liverpool hanya dapat budget beli pemain yang tak berapa mahal.

Takpelah. Pandai lah nanti Rafael Benitez uruskan pemain mana yang nak dibeli. Beli yang mahal pun kalau selalu injured pun tak guna juga..(ayat nak sedapkan hati). Yang penting musim depan Liverpool bakal gegar itu EPL dan Champion League..ha..ha..ha.. 😀

Kita lupakan sementara pasal Liverpool. Bukan apa nanti ada pulak peminat MU, Arsenal atau Chelsea marah. Sikit-sikit Liverpool. Macam power sangat ke team tu. Dah memang saya minat Liverpool nak buat macam mana kan. Walau kalah Liverpool tetap di hati. Kalau menang lagi lah boleh berlagak ngan member-member yang anti Liverpool…hehe 😀

 my jersey

Sambung balik pasal blog saudara Zool. Di blog itu juga ada cerita pasal futsal. Kebetulan sekarang ini saya dalam persiapan untuk menyertai kejohanan futsal di Kuala Lumpur anjuran syarikat tempat saya bekerja. Pasukan saya wakil dari Wilayah Selatan. Kalau nak tengok datanglah ke Ampang Sports Planet pada 30 Jun 2007.

Untuk ke kejohanan ini latihan setiap hari Isnin dan Jumaat setiap minggu. Sebab itu sejak beberapa minggu kebelakangan ni saya sibuk sikit. Kerja dalam daerah, kerja luar daerah dan latihan futsal. Walau sesibuk mana pun saya tetap akan luangkan masa untuk blog. 🙂

my kasut futsal

Oklah. Taknak cerita panjang lebar cukuplah sekadar hari ini. Kejap lagi nak keluar, kena kerja malam. Bukan syif malam tapi ada tugas-tugas khas. Tugas apa ek?  Nantilah saya cerita…hehe.. 😀

Sekian. Jumpa lagi.

Comments (9)

KL Banjir – Peringatan dari Allah?

Salam semua..

Post kali ni saya tulis agak serius sikit. Mengenai banjir ‘kilat’ yang melanda Bandaraya Kuala Lumpur Ahad lalu. Sesungguhnya kejadian ini telah melumpuhkan sebahagian besar kegiatan ekonomi di bandaraya itu. Bila ini berlaku siapa yang rugi? Sudah tentu penduduk-penduduk yang terjejas dengan banjir dan juga peniaga-peniaga samada yang kecil atau yang besar.

Sudah seringkali negara ini dikejutkan dengan musibah banjir. Sebelum ini di Johor dan sekarang ini di Kuala Lumpur pula. Bukan saja banjir, tanah runtuh, bumbung runtuh juga telah melanda ibu kota ‘kebanggaan’ kita.

Apakah musibah ini merupakan amaran dari Allah atau kejadian alam semula jadi seperti yang dilaporkan oleh pakar kaji cuaca akibat pemanasan global yang melanda dunia. Benar ke? disebabkan ini berbagai kejadian luar biasa telah melanda dunia sekarang ini. 

Walau apa pun tanggapan, ini menuntut manusia supaya jangan lupa tanggungjawab pada Allah. Allah yang mengarahkan hujan turun dan Allah jugalah menentukan dengan hujan manusia menerima faedah atau musibah. Setiap perbuatan dan perlakuan manusia diperhati dan apa-apa perlakuan yang mencabar kesucian agama Islam maka musibahlah balasannya.

Di Negara ini musibah yang melanda menuntut kita supaya insaf dengan apa yang berlaku. Konsert dan hiburan melampau sana-sini sentiasa dipenuhi oleh warga-warga kota hingga dinihari. Tak kurang juga ada golongan yang mencabar kesucian Islam dengan menganjurkan aktiviti di luar batasan manusia. 

Kalau dikaji, kenapa semua ini terjadi? Adakah manusia zaman ini sengaja ingin mencabar kekuasaan Allah. Lupakah mereka bahawasanya Allah Maha Besar. Allah yang menjadikan alam ini. Allah berhak menyuruh hambanya supaya menurut segala perintahNya.

Ibarat kita menumpang di rumah orang. Takkan kita boleh buat sesuka hati. Kalau dah menumpang tu buatlah cara menumpang. Nak guna barang pun kena mintak izin. Nak buat itu ini pun kena mintak kebenaran. So, ikut saja lah apa peraturan yang dibuat. 

Kalau disuruh, buat. Kalau di larang, jangan buat. Ini tidak. Yang wajib ditinggalkan dan yang haram pula dibiarkan berleluasa. Sebab itu ada istilah ada judi halal, ada judi haram. Yang halal bila ada lesen dan yang haram pula sebab takda lesen.

Sebenarnya kalau dipikir-pikir apa yang berlaku di negara kita ini berkait rapat dengan perlaksanan dan penguatkuasaan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Allah sudah menyediakan peraturan yang tentunya sesuai dari zaman turunnya Al-Quran sehingga pada masa ini.

Kenapa manusia masih berdegil menafikan hak Allah kepada hambanya. Yang diagungkan kini peraturan ciptaan manusia yang entah bangsa asing mana yang cipta. Peraturan yang sentiasa boleh berubah-ubah mengikut peredaran masa. Peraturan yang mengikut kata majoriti. Kenapa peraturan ini masih diguna pakai?

Selagi manusia alpa dengan keseronokan dunia dan melupakan yang hakiki, selagi itulah bencana takkan sunyi. Mungkin musibah banjir di negara ini tak sehebat negara lain seperti China, Bangladesh dan Indonesia. Oleh sebab ini kita seharusnya bersyukur kerana mungkin ada segelintir manusia yang inginkan peraturan Allah itu ditegakkan.

Musibah dan bencana telah menyebabkan ramai yang menderita dan mengalirkan air mata. Kita yang bernasib baik hanya boleh memerhati dan bersimpati. Menghulur apa yang ada. Menyumbang selagi termampu.

Kalau dahulu kita selalu dengar negeri Kelantan sering di landa banjir. Persoalannya kenapa dulu Kelantan dan sekarang Kuala Lumpur? Jawapannya hanya Allah yang mengetahui….

Sekian. Jumpa lagi. 

Comments (5)

spontan dan sempoi

Salam semua…

Tadi semasa singgah di blog Shuth saya tertarik dengan post dia hari ini. Berapa lama masa untuk update blog?. Kebetulan post yang lepas ada cerita pasal status minat menulis saya dulu, kini dan… akan datang? ehem…

Shuth, walaupun ambil masa lama untuk post sekurang-kurangya dia berjaya hasilkan artikel yang berkualiti yang beri faedah pada orang lain yang membaca.

Saya? Bukan nak merendah diri. Hakikatnya post saya masih berkisar pada apa yang saya suka tulis itupun ambil masa yang lama bila menulis. Kalau boleh nak jugak ikut cara Pakdi yang boleh tulis dengan spontan. Atau cara Aku yang sempoi. Walaupun spontan dan sempoi tetap berfaedah.

Dalam draft saya ada beberapa cerita yang masih tersimpan rapi kerana belum bersedia untuk di post. Sebab saya merasakan bila saya menbaca semula mesti ada yang perlu ditokok tambah ramuannya untuk menyedapkan rasa.

Cerita-cerita tu dah dikarang beberapa minggu lepas. Tapi tak taulah menarik ke tak. Menarik atau tak, mestilah kena post dulu baru lah tau kan… Tunggulah nanti ya kawan-kawan.

Untuk post kali saya cuba tulis secara spontan dan sempoi. Itu pun ambil masa dekat sejam untuk siap.

Oklah, sekarang mau post… 😀

Sekian. Jumpa lagi. 

Comments (8)

Sebulan berlalu

Salam semua..

Hari ini genap sebulan saya menjadi blogger. Harapan saya dengan kelahiran blog ini dapat diterima walaupun saya akui masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.  Saya juga berharap ada perkembangan positif sejak hari pertama hinggalah saat saya menulis post ini. Lain-lain tu anggap saja blog picisan ini sekadar untuk memeriahkan suasana.

Kenapa ya saya nak jadi blogger? Jadi blogger tentunya perlu ada bakat menulis. Betul ke? Bagi saya semua orang dilahirkan ada bakat. Samada bakat menyanyi, bermain bola atau sebagainya. Semua tu hanya perlu di asah. Soalnya sekarang, boleh ke saya menulis?

Yang saya tahu, dulu masa sekolah saya suka melukis. Pernah wakil sekolah dan selalunya setiap minggu lukisan saya di tampal di papan utama lorong ke kantin sekolah. Menulis bagi saya sekadar untuk peperiksaan.

Sejak meninggalkan alam persekolahan dan kemudian melanjutkan pelajaran minat melukis ni tiba-tiba pudar. Benarlah tanpa pengasahan bakat, apa yang kita ada terpendam begitu saja. Kini, saya masih boleh melukis tapi sekadar suka-suka dan bukanlah hobi utama.

Dulu pernah bercita-cita nak jadi pelukis dan arkitek tapi kini semuanya berubah. Sekarang, kerjaya saya lain dari apa yang dicitakan. Bergelumang dengan peralatan telekomunikasi dan bermain dengan teknologi.

Eh! ke lain pulak cerita. Ok. Balik ke tajuk. Kenapa ya saya nak jadi blogger?

Kerana, saya nak cuba sesuatu yang baru. Sesuatu yang baru? Ada beza ke menulis di blog dengan menulis karangan masa sekolah?  

Pendapat saya, dulu karangan yang kita buat hanya guru atau kawan-kawan sekolah saja yang baca. Dengan blog, bukan saja guru, rakan-rakan sekolah, malah satu Malaysia termasuk orang negara luar pun boleh baca karangan kita. Inilah teknologi dan beza antara tulis offline dan online. Karangan yang kita tulis kat sekolah pun boleh dikongsi untuk orang baca dan komen. 

Jadi apa benda baru nak buat? Bukan ke dulu pun pernah menulis. Bezanya dulu saya menulis kerana nak lulus periksa dan sekarang menulis untuk di kongsi dengan orang lain yang jauh dari tempat kita. Kira jadi hobi lah. Manalah tau dengan hobi ni boleh dapat ramai kawan dan menjana pendapatan.

Persoalan lain mengatakan jadi blogger mesti boleh menulis dengan baik. Pendapat anda bagaimana? Walau apa pun pendapat, saya beranggapan menjadi blogger mesti ada kebolehan menulis yang baik. Persembahan penulisan yang baik boleh menarik orang untuk membaca dan seterusnya menjadi peminat setia.

Blog-blog yang saya senaraikan blog selalu baca adalah contoh di antara blog-blog yang mempunyai gaya tulisan yang menarik. Blog-blog tersebut ada keistimewaan masing-masing yang saya anggap senior dan sudah tentu tempat rujukan ilmu percuma. Di bandingkan dengan mereka saya agak jauh ketinggalan.

Sesetengah orang menulis bagi mereka mudah. Tapi tidak bagi saya. Saya ada masa-masa tertentu yang membolehkan saya menulis. Sebab tu dulu saya malas dan tak minat menulis. Tapi sejak ada blog minat tu datang dengan sendiri dan idea menulis tu kira boleh lah.

Bagi saya, sekadar minat saja tak cukup untuk hasilkan tulisan yang baik. Perlu ada pengetahuan, skil dan bahan penulisan yang bagus untuk dikongsi. Itulah kekurangan yang ada pada saya sekarang.

Buat masa ini saya hanya berkongsi apa yang berlaku disekeliling. Saya juga merancang menulis tentang bidang yang saya cebur sekarang. Cuma sekarang ini saya masih fikirkan penyampaian yang macamana untuk memudahkan orang faham baca.

Tempoh sebulan yang lalu banyak mengajar saya. Apa yang perlu saya buat ialah belajar dan terus belajar. Setiap hari mendatang adalah proses menambah ilmu bagi saya. Banyak lagi perkara-perkara teknikal tentang blog belum saya kuasai dan ini perlukan masa untuk saya mendalaminya.

Dengan cara mencari maklumat menjelajah di alam maya dan bertanya kepada yang tahu, insyaALLAH saya akan meningkatkan prestasi blog ini. Buat masa ini apa yang saya perlukan ialah sokongan, komen dan kritikan membina dari rakan-rakan pembaca blog sekalian.

Kepada rakan-rakan blogger yang melawat blog ini sebulan lalu, Terima Kasih saya ucapkan.

Sekian. Jumpa lagi.

Comments (5)

Lama seh tak update blog

Salam semua..

Phew! Lama seh tak update blog. Paling lama dalam sejarah sejak lahirnya blog ini. errr…tu je nak tulis hari ni..hehe… 😀

 

Sekian. Jumpa lagi di lain post.

Comments (10)